SURECOBiz Bersama MuhibahDotNet

SIAPA LAGI YANG NAK TOLONG ORANG KITA KALAU BUKAN KITA SENDIRI

Saturday, April 08, 2006

BERMINAT UNTUK MENJADI AHLI SURECO? - KLIK DISINI

Wajibkan Panel Syariah Di Kalangan Pengeluar Makanan



Wajibkan panel syariah di kalangan pengeluar makanan
Oleh: ZUNAIDAH ZAINON

ISU halal dan haram sering menjadi perbahasan orang Islam daripada aspek pemakanan dan penyediaannya sehinggalah kepada soal penggunaan barang-barang keperluan diri.

Dalam usaha menangani masalah ini, Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) yang ditubuhkan pada 1997 sentiasa mengambil langkah proaktif bagi membela hak dan maruah orang Islam.

Koordinator Projek PPIM, Noor Nirwandy Mat Noordin berkata, pihaknya banyak menerima aduan pengguna yang ragu-ragu terhadap isi kandungan beberapa produk makanan dan barang keperluan. Di samping itu, mereka juga was-was untuk menggunakan sesuatu produk kerana tidak ada logo halal pada barangan tertentu.

Contohnya, pada Januari tahun ini, PPIM menerima 86 kes aduan daripada pengguna, Februari (43 kes) dan Mac (20 kes) melalui sistem khidmat pesanan ringkas (SMS) dan laman web. Ini jelas menunjukkan betapa masyarakat begitu prihatin terhadap barang-barang makanan dan keperluan harian.

“Kebiasaannya, apabila PPIM menerima aduan pengguna, kami cuba menasihati mereka agar tidak mengambil produk tersebut. Bagaimanapun, jika didapati mengandungi bahan terlarang, pihak kami akan merujuk kepada syarikat berkenaan untuk dapatkan kepastian,” terang beliau mengenai prosedur aduan PPIM.

Menurut Wandy, PPIM hanya bertindak sebagai orang tengah yang menyalurkan maklumat tepat kepada pengguna kerana bidang penguatkuasaan adalah di bawah tanggungjawab pihak berwajib. Misalnya, dalam kes jualan daging khinzir secara terbuka, PPIM hanya bertindak dengan menghantar maklumat berkenaan kepada pihak berkuasa untuk tindakan selanjutnya.

Menurutnya, kebanyakan produk di pasaran hanya menggunakan logo halal untuk mendapatkan pasaran orang Islam. Malah di negara ini tidak ada sebarang akta khusus untuk memantau pemberian sijil halal kepada syarikat-syarikat pengusaha makanan. Bahan-bahan yang digunakan pula hanya berpandu kepada kod-kod tertentu dengan menggunakan bahasa saintifik yang kurang difahami.

Apabila tidak ada undang-undang khusus yang mengawal dan memantau, maka pengeluar bukan Islam sewenang-wenangnya menjual produk makanan yang belum sahih isi kandungannya sama ada halal atau haram. Paling membimbangkan ialah makanan ringan, gula-gula dan coklat yang digemari kanak-kanak mungkin dimakan begitu sahaja tanpa mengambil kira bahan yang digunakan.

"Ibu bapa yang tidak dapat mengenal pasti latar belakang sesuatu produk akan membelinya untuk anak-anak sedangkan ia tidak diiktiraf oleh Jakim," tambahnya yang berpendapat pengguna juga kadang-kadang tidak dapat membezakan antara produk halal atau tidak kerana kurang pengetahuan.

Dalam persekitaran ekonomi di negara ini yang banyak dikuasai pengusaha makanan bukan Bumiputera, secara tidak langsung mereka mengambil kesempatan atas kelemahan pengguna. Misalnya, ada produk makanan yang diimport dari luar negara tetapi dibungkus di negara ini tanpa menggunakan logo halal. Ia dilakukan dengan tujuan mengaut keuntungan dan tidak menghiraukan sensitiviti pengguna Islam.

Industri makanan yang semakin berkembang pesat kini turut menjadi faktor yang mengundang persoalan halal atau haram. Untuk menangani cabaran tersebut, PPIM mengambil beberapa langkah bagi memastikan persoalan halal haram dapat diatasi dengan berhikmah.

PPIM menggesa agar pihak kerajaan mewujudkan Akta Halal supaya tidak timbul salah faham dalam penyediaan makanan yang boleh merugikan pengguna terutama orang Islam. Tindakan undang-undang yang dikenakan kepada pengusaha hanyalah hukuman ringan yang tidak setimpal dengan tindakan mereka.

"Apa yang ada sekarang ialah pembuktian halal atau haram bergantung sepenuhnya kepada pengguna. Kita memerlukan akta atau undang-undang yang boleh menghalang penggunaan logo halal sewenang-wenangnya. Contohnya, bagi penggunaan logo tiruan, Jakim tidak boleh mengambil sebarang tindakan ke atas pengusaha yang tidak menggunakan logonya," ujar beliau.

PPIM turut mencadangkan agar permohonan sijil halal diperketatkan bagi membendung lambakan produk-produk makanan yang tidak halal atau mengandungi bahan terlarang di pasaran. Logo halal amat penting kerana ia berkait rapat dengan ekonomi umat Islam.

Bagi memantau permohonan sijil halal, PPIM menyarankan agar syarikat pengeluar mempunyai panel syariah bagi memantau pengeluaran produk makanan. Di samping itu, pasukan kerja yang dikenali sebagai audit syariah juga diperlukan bagi memastikan bahan-bahan mentah yang digunakan menetapi hukum syarak.

Perkara penting yang perlu diberi perhatian oleh pihak kerajaan ialah mewujudkan makmal yang dikendalikan para saintis Islam demi menyahut cabaran penyediaan makanan dalam era teknologi moden. Misalnya, sebuah syarikat pengeluar makanan perlu menghantar sampel mereka untuk diperiksa isi kandungan terlebih dahulu sebelum sijil halal dikeluarkan. Langkah ini secara tidak langsung berupaya mewujudkan jaringan dengan negara-negara Islam dan bukan Islam supaya teknologi yang dibangunkan dapat bertindak sebagai sistem yang diiktiraf.

"Halal adalah sumber kekuatan ekonomi bagi umat Islam yang telah disalahgunakan untuk mengaut keuntungan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab. Oleh itu, semua pihak harus berganding bahu bagi memastikan pengguna Islam tidak tertipu," ujar Noor Nirwandy.

LANGKAH PERMULAAN YANG BIJAK KEARAH PEMELIHARAAN KESIHATAN SECARA MENYELURUH