SURECOBiz Bersama MuhibahDotNet

SIAPA LAGI YANG NAK TOLONG ORANG KITA KALAU BUKAN KITA SENDIRI

Sunday, September 03, 2006

BERMINAT UNTUK MENJADI AHLI SURECO? - KLIK DISINI

Sisa buangan 'bertakung' jika buah pinggang rosak



Oleh Hafizah Iszahanid

MUNGKIN anda tidak menyedari, di Malaysia lebih 2,500 orang mengalami kegagalan buah pinggang peringkat akhir setiap tahun. Angka ini bersamaan dengan kira-kira 100 orang dalam sejuta penduduk setahun.

Lebih menggerunkan, kadar ini semakin meningkat - pada 1980 hanya 43 orang diterima untuk dialisis tetapi jumlahnya meningkat kepada 2,538 orang pada 2004.

Apa sebenarnya yang menyebabkan pertambahan dalam jumlah ini? Adakah gaya hidup moden cukup berperanan dalam mengubah keadaan kesihatan?

Secara umum, penyakit buah pinggang bermaksud apa saja penyakit atau keganjilan yang memberi kesan kepada fungsi buah pinggang. Justeru, senarai penyakit buah pinggang sangat panjang. Ia termasuklah penyakit buah pinggang yang diwarisi secara genetik (polycystic kidney disease) dan penyakit buah pinggang yang disebabkan penyakit lain seperti diebetes dan hipertensi (hypertension).

Kebanyakan pesakit awalnya tidak menyedari mereka terdedah kepada ancaman penyakit buah pinggang. Ini disebabkan simptom penyakit buah pinggang tidak begitu jelas dan kegagalan fungsinya memakan masa yang lama. Ini ditambah pula dengan kurang pengetahuan atau pendedahan.

Presiden Persatuan Nefrologi Malaysia (PNM), Dr Tan Chwee Hoon, berkata individu yang mengalami penyakit atau kegagalan fungsi buah pinggang harus diberi harapan dan sokongan untuk menguruskan gaya hidup mereka.

Selain itu, maklumat tepat mengenai penyakit buah pinggang tentu saja dapat membantu pesakit untuk lebih memahami penyakit mereka.

Justeru, PNM mengambil inisiatif melancarkan laman web untuk pesakit pada peringkat awal penyakit buah pinggang.

"Laman web ini, Freedomtolive.com menawarkan pelbagai sumber, daripada cara mengesan penyakit kepada kehidupan selepas disahkan menghidap sakit buah pinggang. Laman ini memberikan maklumat asas yang harus diketahui oleh setiap pesakit atau mereka yang berisiko menghidap penyakit buah pinggang," katanya.

Persoalan paling penting, apa akan jadi jika buah pinggang anda gagal berfungsi secara total? Kegagalan fungsi buah pinggang secara total kadang kala dipanggil end-stage renal disease (ESRD).

Jika buah pinggang anda gagal berfungsi keseluruhannya, tubuh akan dipenuhi lebihan cecair dan bahan buangan. Keadaan ini dinamakan uremia. Tangan dan kaki akan mula membengkak. Anda akan terasa letih dan lemah kerana tubuh memerlukan "darah bersih" untuk berfungsi secara sempurna.

Uremia yang tidak dirawat akan membawa kepada koma yang boleh membawa kepada kematian. Jika buah pinggang berhenti berkerja secara total, anda memerlukan dialisis atau pemindahan organ.

Ada dua jenis dialisis iaitu;

  1. Hemodialisis - darah dihantar ke mesin yang akan menapis bahan buangan. Darah bersih akan dihantar semula ke tubuh. Satu sesi dialisis memakan masa tiga hingga empat jam.
  2. Peritoneal dialisis - cecair diletakkan dalam perut. Cecair ini dikenali sebagai "dialysate" dan bertindak "menangkap" bahan buangan daripada darah. Selepas beberapa jam, dialysate yang mengandungi bahan buangan tubuh akan dikeluarkan. Peritoneal dialisis boleh dilakukan pesakit sendiri.
Satu lagi kaedah rawatan penyakit buah pinggang ialah menerusi pemindahan organ. Tetapi anda juga perlu tahu senarai penderma organ di Malaysia sangat kurang berbanding penerima. Tetapi, satu daripada cara berkesan merawati kegagalan fungsi buah pinggang ialah menerusi pemindahan organ. Organ yang didermakan seharusnya padan dengan penerima. Penerima akan diberi ubat khas anti penolakan bagi membolehkan organ baru berfungsi.

Bagaimana pula rawatan secara tradisi? Bolehkah rawatan secara tradisional atau homeopati membantu menyembuhkan penyakit ini? Dalam hal ini, PNM menjelaskan mereka tidak boleh menyokong atau menyangkal dakwaan yang dibuat oleh sesetengah pengamal perubatan tradisi dan homeopati kononnya ada ramuan tradisi atau herba yang mampu menyembuhkan penyakit buah pinggang.

Begitupun, setakat ini tiada ubat yang boleh menyembuhkan kegagalan fungsi buah pinggang dan memulihkan kembali fungsinya,

Dialisis tidak boleh menyembuhkan kegagalan fungsi buah pinggang ia hanya menggantikan fungsi buah pinggang yang gagal. Lagipun, kandungan dan kemujaraban ramuan sebegitu tidak dikawal dan faedahnya juga tidak terbukti secara saintifik. Justeru, PNM menyarankan rawatan penyakit buah pinggang secara tradisi atau homeopati patut dibincangkan dengan doktor yang merawat.

Risiko penyakit buah pinggang

  1. Diabetes
  2. Tekanan darah tinggi
  3. Datang dari keluarga yang didiagnos dengan penyakit buah pinggang kronik (CKD).
  4. Penyakit sistemik (berkaitan badan) yang tertentu seperti Systemic Lupus Erythematosus.
  5. Batu karang atau jangkitan pundi kencing
  6. Penggunaan ubat tahan sakit secara berpanjangan
Simptom

Anda perlu tahu, kadang kala tiada simptom yang "muncul" pada peringkat awal kerosakan fungsi buah pinggang. Gejala akan muncul apabila buah pinggang anda berada di tahap akhir fungsinya. Begitupun ada beberapa tanda yang boleh anda perhatikan;

a) Kaki bengkak atau kejang
b) Berat bertambah kerana sembab air
c) Kerap kencing terutama waktu malam
d) Hilang selera makan, muntah atau rasa loya
e) Pendek nafas

Langkah pencegahan

Bagi anda yang bukan pesakit diebetes atau hipertensi, kurangkan risiko anda pada penyakit ini dengan mengamalkan diet yang seimbang, kerap bersenam, jangan merokok, lakukan imbasan penyakit buah pinggang secara kerap jika anda berada dalam golongan berisiko tinggi. Pengesanan awal membantu melambatkan proses kegagalan fungsi buah pinggang.

Lakukan pemeriksaan tekanan darah secara kerap jika anda berhadapan dengan tekanan darah tinggi. Pastikan tekanan darah anda terkawal. Pantau tahap gula dalam darah jika anda pesakit diebetes.

Labels:

LANGKAH PERMULAAN YANG BIJAK KEARAH PEMELIHARAAN KESIHATAN SECARA MENYELURUH