SURECOBiz Bersama MuhibahDotNet

SIAPA LAGI YANG NAK TOLONG ORANG KITA KALAU BUKAN KITA SENDIRI

Sunday, September 03, 2006

BERMINAT UNTUK MENJADI AHLI SURECO? - KLIK DISINI

Bakteria baik



Oleh NORLAILA HAMIMA JAMALUDDIN

PERNAHKAH anda mengalami sakit perut dan asyik berulang ke tandas kerana tersalah makan apabila bercuti, terutama di luar negara? Sebenarnya itu bukan akibat salah makan, tetapi makanan diambil tidak serasi dengan "kehidupan" dalam perut kita.

Usus kita menjadi perumah kepada berbilion bakteria baik dan jahat. Dianggarkan ada lebih 400 jenis bakteria yang membiak dan membentuk koloni serta hidup harmoni demi kesejahteraan kita.

Bakteria baik seperti Laktobasilus asidofilus (L asidofilus), L bulgarikus, L casei, Bifidobakterium longum dan Streptokokus terminofilus dipanggil probiotik hidup dalam usus besar.

Apa gunanya probiotik ini? Tugas probiotik sangat penting kerana ia bertindak ke atas makanan yang tidak tercerna untuk mendapatkan nutrien, sama ada bagi kegunaan sendiri mahupun membantu badan menyerap nutrien berkenaan.

Probiotik juga berfungsi meningkatkan ketahanan usus dengan memastikan pertumbuhan sel usus dan perjalanan makanan yang sudah dicerna dalam keadaan baik.

Kekurangan probiotik ini boleh menyebabkan bakteria jahat mengambil alih dan menyebabkan masalah cirit-birit, jangkitan, tidak toleren laktosa dan sindrom usus rengsa (seperti kembung, sembelit, perut tidak selesa, angin, loya dan najis berlendir).

Dari mana datangnya bakteria ini? Setiap bayi akan "menelan" probiotik daripada ibunya ketika dilahirkan. Bilangan probitik bertambah dan berganda apabila dia diberikan susu badan.

Susu pertama iaitu kolustrum mengandungi banyak bakteria baik dan ini sebabnya bayi yang diberikan susu ibu mempunyai daya ketahanan lebih tinggi dan jarang mengalami masalah ketidakhadaman.

Manakala bakteria jahat (bakteria patogenik) masuk ke dalam badan melalui makanan dan minuman tercemar. Bakteria ini bersaing dengan probiotik untuk makanan dan ruang.

Jika jumlahnya besar, ia dengan mudah dapat mengalahkan dan membunuh bakteria baik; menyebabkan kita sakit perut, kembung, cirit-birit, banyak angin atau sembelit.

Namun, keseimbangan probiotik dalam usus boleh terganggu dengan kehadiran klorin dalam air minuman. Klorin sebenarnya berfungsi membunuh bakteria dalam takungan air, tetapi pada masa sama ia juga boleh meracun bakteria baik dalam usus.

Selain itu, kandungan flourida dalam ubat gigi dan pengambilan antibiotik tanpa kebenaran doktor boleh membunuh probiotik usus. Mungkin ramai tidak sedar antibiotik juga diberikan kepada haiwan ternakan melalui makanan bagi mencegah penyakit.

Kajian menunjukkan hampir 60 peratus makanan ternakan di seluruh dicampurkan antibiotik. Malangnya, antibiotik ini juga boleh masuk ke dalam hasil ternakan seperti susu dan telur. Pengambilan antibiotik yang berlebihan akan memusnahkan keseimbangan flora dalam usus kita.

Ini juga sebabnya kita disaran menghabiskan antibiotik ketika sakit (kerana pada waktu ini keseimbangan probiotik kita terjejas) dan tidak mengambilnya tanpa arahan doktor.

Namun probiotik perlu "diternak" bagi mengekalkan keseimbangannya dengan bakteria patogenik. Ini boleh dilakukan dengan mengamalkan pemakanan seimbang, rendah lemak dan kurang gula. Ia akan aktif membiak jika diberikan produk susu seperti kultur, dadih dan keju.

Makan secara tetap (pada waktu sama) juga boleh merangsang pembiakan probiotik. Ketidakpatuhan terhadap jadual makan membuatkan perut mengeluarkan lebih banyak asid dan ini menjadikan persekitaran dalam perut menjadi sangat berasid yang boleh membunuh probiotik.

Malah, kita disaran belajar mengendalikan tekanan kerana ia juga boleh menjejaskan keseimbangan probiotik dan bakteria patogen dalam usus. Ini sebabnya individu yang tertekan selalu mengalami masalah hilang selera makan, sakit perut, cirit-birit atau sembelit.

Petua orang dulu yang melarang kita minum ketika makan juga ada baiknya. Air akan mencairkan enzim pencernaan dalam perut dan menyebabkan proses penghadaman makanan menjadi perlahan.

Makanan yang tidak hadam pula disimpan lebih lama dalam usus daripada tempoh sepatutnya. Lama kelamaan, ia menjadi bahan toksik yang boleh menimbulkan masalah seperti sakit perut, kembung, pedih ulu hati, radang kulit dan pertambahan berat badan.

Individu yang akan bercuti di luar negara disaran mengambil probiotik tempatan (keluaran negara sendiri) sebelum dan ketika di negara orang. Ini penting untuk mengelakkan kita mengalami masalah sakit perut, muntah atau cirit-birit ketika bercuti.

Malah, individu yang ada masalah gastrik, sindrom usus rengsa, pedih ulu hati, tidak toleran laktosa dan jangkitan salur kencing disaran mengambil probiotik setiap hari untuk menyihatkan persekitaran usus.

Labels:

LANGKAH PERMULAAN YANG BIJAK KEARAH PEMELIHARAAN KESIHATAN SECARA MENYELURUH